HUTANG, suatu perkataan yang sering diucap, mudah untuk diberi tetapi amat sukar untuk dilunaskan. Hutang merupakan suatu kaedah urus niaga atau muamalat yang telah wujud dalam kehidupan manusia bermasyarakat sejak berabad-abad lamanya. Cuma bentuknya agak berubah, jika dahulunya ramai yang berhutang barang keperluan, sekarang lebih ramai yang berhutang mata wang.
Jika dahulu ramai yang berhutang kerana terdesak, sekarang ada yang berhutang kerana ingin mengekalkan lagak..
Jika dahulu orang berhutang dengan duit, sekarang segalanya dipermudahkan dengan kad kredit.
Berhutang bukanlah suatu amalan yang ditegah, bahkan dalam sistem kehidupan kita hutang dalam apa jua bentuk dan namanya adalah suatu yang diiktiraf kewujudan dan kepentingannya.
Agama juga mengakui ada ketikanya hutang diharuskan, walaupun bukan itu yang digalakkan. Setiap kita berhutang dalam kapasiti dan kuantiti yang berbeza. Ada yang berhutang kerana tidak membawa duit pada waktu tersebut, malah lebih ramai lagi yang berhutang kerana sememangnya tidak berduit. Bukanlah kapasiti kita untuk membincangkan perkara tersebut. Tepuklah dada, tanyalah diri sama ada hutang itu perlu atau boleh ditunggu.
Nabi mengajar kita supaya sentiasa berdoa agar dilepaskan kita daripada beban hutang. Namun, perkara yang sering kita lupakan tetapi sebenarnya lebih penting ialah bab membayar hutang..
Tiada aib jika tidak berhutang tetapi suatu kesalahan besar tidak membayarnya. Walaupun begitu, dengan tidak menafikan golongan yang sememangnya benar-benar kesuntukan wang untuk membayarnya, namun wujud sekelompok manusia yang sengaja tidak mahu untuk membayar selagi tidak diminta.
Budaya ini amatlah jelas bertentangan dengan suruhan agama yang mana Nabi bersabda bahawa hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut. Sebagaimana tiada orang yang memanggil kita untuk berhutang, seperti itulah sepatutnya kita bersegera untuk melunaskannya walaupun tanpa sebarang notis berwarna merah. Itu adalah tanggungjawab kita.
Bermula dengan hutang dengan saudara-mara dan jiran sekampung, sehinggalah kepada pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara, ramai yang menunggu untuk membayar setelah dipanggil dengan notis.Pada masa yang sama, dalam hati merasa amat senang dan terlepas daripada gangguan sekiranya tiada pihak yang datang menuntut. Mujur sekali rasanya, jika pihak yang memberi pinjaman ini lupa terus untuk menuntut walaupun sikap ini amat tidak disukai oleh agama dan negara. Lebih parah lagi jika hutang yang 'dibuat lupa' ini melibatkan ahli keluarga atau jiran tetangga. Selagi mana tidak dibayar, selagi itulah tidakkan hilang calarnya.
Hatinya pasti membuak-buak perasaan buruk sangka dan hilang kepercayaan terhadap saudara darah dagingnya. Putusnya silaturahim angkara siapa, jika bukan kerana kita yang melupakan orang yang pernah menolong kita. Pastinya, tiada yang marah jika kita benar-benar memberitahu mereka kenapa kita tidak mampu membayar pada waktunya. Tidak pelik juga ada yang akan menghalalkan terus hutang tersebut kerana kejujuran yang kita luahkan. Akan lenyaplah segala buruk sangka dan terpadamlah api kemarahan yang marak membara. Silaturahim yang layu kekeringan tidak mustahil akan subur semula.
Kepada graduan yang membuat pinjaman untuk membiayai pelajaran mereka, ingatlah bahawa wang yang dipinjam ialah wang negara dan wang rakyat. Satu peluang telah diberikan sehingga kita berjaya dan seharusnya peluang itu kita berikan kepada generasi yang lebih muda dan lebih memerlukan daripada kita. Tidak akan aman roh kita sekiranya mati kita dalam keadaan hutang yang belum diselesaikan. Sementara aura hari kebangsaan Malaysia yang masih membara, marilah sama-sama kita memerdekakan diri daripada berlenggu hutang yang sifatnya suka melilit kita.
Bermula dari hutang membayar harga nasi di pinggan, melarat sehingga keliling pinggang lama-kelamaan ia naik ke leher dan tidak mustahil akan menjerut kita suatu hari nanti. Justeru, segeralah kita membayar hutang pada waktunya. Hutang kita tanggungjawab kita.
Al Anbiyaa’ ayat 105Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh". Oleh : Muhammad Nazir
No comments:
Post a Comment