Friday, 4 April 2008

Cara membina diri menjadi wanita cantik


Oleh Roha Haasan

KECANTIKAN adalah sesuatu yang diinginkan oleh semua insan. Kecantikan mempunyai pelbagai tafsiran bergantung kepada individu.

Helen Gurley Brown, dalam bukunya bertajuk "Action For Success" mengungkapkan kecantikan sebagai, "Beauty can't amuse you, but brainwork- reading, writing, thinking - can".

Bagi seorang gadis remaja, kecantikan ialah 'tubuh langsing, kulit putih gebu dan senyuman menawan' manakala remaja lelaki pula melihat kecantikan dalam bentuk 'tubuh gagah dan sasa'.

Dalam mengungkapkan sifat Allah terhadap kecantikan dan keindahan, Rasulullah, bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah itu Maha indah dan menyukai keindahan." (Riwayat Muslim dan Tirmidzi).

Apa pun pandangan kita, kecantikan tetap memiliki tempat dan kepentingan tersendiri, lebih-lebih lagi untuk remaja.

Berikut beberapa panduan kecantikan yang perlu dimiliki oleh remaja jika ingin menjadi "insan cantik":-

Bercita-cita tinggi dan mempunyai wawasan

Pada usia muda, seorang remaja harus memiliki wawasan hidup. Anda mesti tahu arah dan matlamat yang ingin dicapai.

Tahu membezakan di antara yang baik dan buruk

Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula orang yang menyeleweng dari kebenaran. Barang siapa yang taat maka mereka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus, adapun orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam." (Surah Al-Jin:14-15)

Sayangkan diri, keluarga dan masyarakat

Seorang remaja mesti sayangkan diri sendiri, sayangkan ibu bapa serta mengasihi setiap ahli keluarga. Mereka berusaha mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyayangi jiran dan ahli masyarakat. Mereka tidak derhaka terhadap ibu bapa dan keluarga atau menyakiti jiran dan masyarakat.

Sabda Rasulullah, maksudnya: "Tidaklah sempurna iman salah seorang di antara kalian sehingga dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri."

Berilmu pengetahuan dan bermaklumat

Seorang remaja mesti mendapatkan sebanyak mungkin ilmu secara formal atau tidak formal. Ilmu akademik penting untuk masa depan kehidupan. Ilmu kerohanian untuk mencantikkan jiwa dan dalaman manakala ilmu pengurusan bagi mengurus diri.

Menjaga kesihatan fizikal, jiwa dan minda

Kesihatan fizikal mesti dipelihara dengan memberikan hak sepatutnya kepada tubuh. Lakukan aktiviti yang menyihatkan badan. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat. Elakkan daripada mengambil sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan dan minda seperti rokok, arak dan dadah.

Tubuh adalah amanah Allah. Untuk menyihatkan jiwa, amalkanlah zikrullah dan tingkatkan ibadat yang ditetapkan sebagai hamba Allah. Fizikal, jiwa dan minda yang sihat akan menyerlahkan kecantikan seseorang remaja.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, yang berkata, Rasulullah, bersabda, maksudnya: "Dua nikmat yang sering tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan waktu lapang."

Menghormati diri dan orang lain

Hormatilah diri anda. Seseorang remaja mesti tahu menghormati diri dengan menjauhi tingkah laku yang boleh menyebabkan pihak lain hilang rasa hormat kepadanya. Jauhi kegiatan dan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri.

Hormatilah guru yang mendidik anda, rakan dalam pergaulan, warga emas, orang yang lebih tua dan mereka yang kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa dan agama. Abdullah Ibnu Umar, meriwayatkan bahawa seseorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Islam bagaimanakah yang paling baik?" Nabi menjawab: "Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal atau yang tidak kamu kenal"

Berlaku adil

Keadilan adalah salah satu 'kecantikan' yang mesti diamalkan oleh remaja. Ia merangkumi kehidupan harian. Seseorang remaja harus berlaku adil dalam pergaulan dan semasa membuat pertimbangan. Remaja yang adil dapat membezakan di antara yang baik dan buruk dengan jelas. Mereka dapat menunaikan hak diri dan makhluk lain dengan tepat.

Menjauhi maksiat

Remaja cantik mesti menjauhkan diri daripada maksiat. Mereka takut kepada firman Allah, yang bermaksud: "Sudah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." (Surah Ar-Rum: 41).

Faham hak dan tanggungjawab sebagai rakyat

Sebagai remaja cantik, anda mestilah tahu keadaan semasa tanah air. Remaja mesti mengetahui sejarah kemerdekaan tanah airnya. Anda mestilah mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tahu hak sebagai rakyat.

Mesra alam

Alam semesta ciptaan Allah tidak saja didiami oleh manusia tetapi juga haiwan dan tumbuhan. Seseorang remaja yang menunaikan hak dengan memelihara alam dan menyayangi haiwan adalah remaja berakhlak mulia. Amalan ini akan diberikan ganjaran setimpal oleh Allah.

Prihatin dengan masalah sejagat.

Remaja yang cantik akhlaknya berusaha mempelajari apa yang berlaku di luar negara untuk dijadikan iktibar. Sebagai remaja, kita mesti menunjukkan keprihatinan dengan pergolakan yang sedang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

No comments:

Love

Love

About Me

My photo
I am a very friendly person, loveable, caring, outgoing and independent. I hate people who thinks they are so good and perfect but the fact is they're not.